Monday, 29 April 2013

Duit kerja untuk kita? Bagaimana ia berlaku

Artikel “BIAR DUIT KERJA UNTUK KITA” ini di ambil dari mymetro bertarikh 25 Mac 2013, tulisan Suzardi bin Maulan (Pakdi)

 

Kata orang bijak pandai: “It is easier to make money than it is to keep it.”

Buat duit (make money) tidak sama dengan urus duit (keep money).

Majoriti daripada kita tahu cara buat duit, iaitu dengan belajar rajin-rajin sampai masuk universiti dan selepas itu dapat kerja. Itu saja yang kita tahu. Cari duit dengan makan gaji.


Makan gaji tidak salah. Cuma ramai yang tahu cara buat duit dengan jalan makan gaji saja. Tidak tahu cara lain mendapat pendapatan bulanan selain makan gaji. Sedangkan hari ini peluang semakin luas, dunia semakin rata dan wujud peluang buat duit yang banyak tanpa perlu makan gaji.

Maka apabila kita rasa tidak cukup duit setiap bulan maka kita pun terus terfikir satu perkara saja, iaitu bagaimana nak naik gaji? Kita pun berdoa. Doa kita dimakbulkan. Alhamdulillah. Ada yang dapat naik gaji dan ada melompat kerja serta dapat naik gaji di tempat kerja baru. Kita pun rasa lega sebab gaji sudah naik.

Malangnya kelegaan itu hanya bertahan dua hingga tiga bulan saja. Masuk bulan ke-4 kita pun kembali kepada situasi sebelum naik gaji. Belum sampai hujung bulan, gaji habis. Aduh!


Urus duit tidak sama dengan buat duit.

Semua orang boleh jadi kaya. Bayangkan, masa zaman belajar dulu langsung tiada pendapatan. Habuk pun tiada. Namun selepas bekerja, kita berkemampuan memperoleh pendapatan sehingga RM30,000 setahun misalnya. Bayangkan, kehidupan kita mendadak naik, dari RM0 menjadi RM30,000.

Namun ‘kekayaan’ itu hanya sekejap. Ramai yang jadi ‘miskin’ semula sebab mengumpul hutang dan beban terlalu banyak dalam tempoh singkat. Kita hidup di atas kadar kemampuan sepatutnya. Kita banyak membeli benda kita tidak perlukan. Kita tidak tahu cara urus duit gaji yang betul. Jika kita sentiasa berbelanja lebih daripada duit gaji, maka sampai bila-bila kita tidak mempunyai sebarang harta.

Kemahiran urus duit ini kita tidak pernah belajar. Tidak pernah ambil tahu untuk tahu. Sedangkan kita memerlukan kemahiran urus duit sehingga kita meninggal dunia.

Jika kita habis belajar pada umur 24 tahun, dan kita ditakdirkan hidup sehingga umur 60 tahun, maka sebenarnya kita memerlukan kemahiran urus duit selama 36 tahun.


Urus duit lebih susah daripada buat duit.

Kebanyakan kita tidak sedar perbezaan buat duit dan urus duit. Bagi kita pendapatan besar setiap bulan menyelesaikan segala-galanya. Malangnya persepsi itu tidak tepat. Urus duit lebih penting. Semua orang mesti tahu cara betul uruskan duit sama ada bergaji tinggi atau rendah.
Sekiranya setiap bulan kita berpendapatan RM10,000 sekalipun, tetapi duit keluar setiap bulan mencecah RM12,000 apalah gunanya? Bak kata orang utara, ‘pi mai pi mai tang tu juga.

 

Dalam urusan duit cuma ada dua masalah saja:

1. Masalah tidak cukup duit.
2. Masalah terlebih duit.

Dan kedua-dua masalah ini perlukan satu kemahiran utama iaitu kemahiran menguruskan duit. Kemahiran urus duit ini membolehkan duit kita bekerja keras untuk kita.

Kita dapat menjadi tuan kepada duit. Duit menjadi hamba kepada kita. Jika kita tahu cara betul uruskan duit, dengan hanya menyimpan RM100 sebulan, kita dapat mempunyai simpanan sekitar RM335,000 selepas 40 tahun. Justeru, masalah duit yang mana satu kita mahu?

Selain itu, paling penting dalam kemahiran urus duit, apa yang kita perlukan adalah penyata kewangan peribadi. Kalau serius kita sudah pasti mempunyai penyata kewangan peribadi.

Jika belum ada, itu maksudnya kita belum cukup serius. Sebabnya penyata kewangan dapat menunjukkan duit keluar masuk dan senarai semua harta dan hutang yang kita ada. Selepas sudah ada penyata kewangan, kita dapat memecut laju apabila membolehkan duit masuk lebih daripada duit keluar dan senarai aset lebih panjang daripada senarai hutang. Itulah sasaran kita!

Untuk keluar dari situasi kewangan dan mencapai kebebasan kewangan bermula daripada yakin. Seterusnya bertindak. Fahami dengan teliti, buat semua lembaran kerja disediakan dan terus bertindak.

Sekiranya perlu mengetatkan bajet bulanan, buat. Jika perlu potong semua kad kredit, potong. Kalau perlu buat bisnes sambilan, buat. Apabila kita telah mengambil tindakan saya jamin ada perubahan yang pasti berlaku. Kita pasti terkejut dengan perubahan itu.

Saya tidak mencadangkan sesiapa berhenti kerja. Apa yang saya minta adalah bertindak berdasarkan prinsip yang telah ditunjukkan, dan anda melihat aliran masuk duit yang tidak pernah dijangka selama ini. Sekali lagi, sekarang masa bertindak.

Kata orang bijak pandai, “Orang miskin berkerja untuk duit, orang kaya menjadikan duitnya bekerja keras untuk dia.” Ramai orang langsung tidak bertindak. Apabila tiada tindakan dibuat, maka kita tidak dapat menjadi lebih baik. Jadi kita mesti bertindak untuk berjaya.

 

Wednesday, 17 April 2013

Nak tahu? Apakah Kebiasaan Kesilapan Pelabur Unit Amanah

(1)  Menunggu perbezaan harga pasaran:

  • Strategi menunggu perbezaan harga pasaran sehinggga 5, 10 atau 20 peratus untuk jangka masa yang panjang sememangnya tidak berbaloi.
  • Sebaliknya, pertimbangkan rancangan simpanan berterusan di mana anda boleh melabur jumlah kecil setiap bulan atau secara tetap.
  • Kelebihan melabur sejumlah wang yang sama setiap kali ialah anda dapat membeli lebih unit bila harganya rendah dan kurang apabila harganya naik, sekaligus dapat mengurangkan purata kos kos belian seunit (Cost Averaging).
  • Oleh itu, anda tidak perlu tertunggu-tunggu masa yang sesuai untuk membeli unit.

 unit trust

 

(2)  Melabur semata-mata kerana pengisytiharan dividen atau terbitan unit bonus (unit split):

  • Strategi ini jelas satu tindakan yang kurang bijak, di mana kebiasaannya selepas pengisytiharan dividen, pengagihan pendapatan atau terbitan unit bonus, harga unit diselaraskan supaya menurun.
  • Akibatnya, pelabur yang mungkin melabur dalam dana ini berkemungkinan boleh mengalami kerugian dan terpaksa menjual pelaburannya pada harga yang rendah.
  • Oleh itu, cara yang terbaik adalah melabur dengan secara berterusan bagi mengurangkan ‘Cost Averaging’ bukan selepas pengisytiharan dibuat.

 

(3)  Mempercayai khabar angin atau mengikut sentimen orang ramai:

  • Kesilapan pelabur unit amanah ini adalah melabur berdasarkan khabar angin dan mengikut orang lain.
  • Jika orang lain melabur di dalam dana A, maka mereka turut melabur produk yang sama tanpa mendapatkan maklumat penting yang berkaitan.
  • Cara terbaik adalah sentiasa baca prospektus, prestasi lampau dan mengkaji sebaik mungkin mengenai sesuatu dana sebelum membuat keputusan pelaburan.

 

(4)  Tidak melakukan pemelbagaian (Diversification) unit amanah yang cukup atau secara berlebihan:

  • Seperti lain-lain pelaburan, unit amanah juga tidak terkecuali daripada risiko yang bakal dihadapi.
  • Oleh itu, jangan membuat pelaburan yang tertumpu kepada satu jenis dana sahaja.
  • Elakkan juga membeli terlalu banyak dana bagi mengelakkan kesukaran untuk memantau prestasi dana.
  • Cara yang terbaik adalah dengan membuat kajian menyeluruh mengenai pilihan pelaburan seperti industri, negara, jenis pelaburan, risiko dan sebagainya ketika proses ‘Diversification’ ini.
  • Dengan kaedah ini, pelabur dapat mengimbangi kerugian yang dialami dengan andaian pelaburan lain berkemungkinan berjaya menjana keuntungan.

 

(5)  Tidak peka terhadap yuran dan caj yang dikenakan:

  • Kebanyakan pelaburan mengenakan yuran dan caj jika melakukan transaksi tertentu.
  • Kesilapan pelabur unit amanah ini adalah kurang memberikan perhatian terhadap caj seperti  Caj Jualan, belian balik / yuran penebusan, caj tetap dan sebagainya.
  • Pelabur yang bijak perlulah mengambil kira aspek yang mana di dalam pelaburan yang bakal dikenakan caj dan yuran serta mengetahui berapakah jumlah yurannya.
  • Lakukan perbandingan dengan dana-dana yang lain sebelum melabur di dalam dana tersebut.

 

Sebagai kesimpulan, walaupun konsep pelaburan unit amanah ini nampak mudah, kesilapan pelabur unit amanah ini sering sahaja boleh berlaku. Justeru, langkah yang terbaik adalah dengan melengkapkan diri dengan pelbagai maklumat penting tentang pelaburan tersebut sebelum memulakan atau menambah jumlah pelaburan anda.

Sumber Artikel:

(1) Akhbar Harian Metro, 17 Disember 2011 (Sabtu), di M/S 44.

(2) Securities Industry Development Corporation (http://www.sidc.com.my)

(3) Laman Web Pelabur Malaysia (http://www.min.com.my)

(4) http://belanjawang.com/53/5-kesilapan-biasa-pelabur-di-dalam-unit-amanah-unit-trust/

There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...